Ramai Sokong Hapus Caj Transaksi ATM RM1, Ia Membebankan Pengguna?
Orang ramai termasuk pakar-pakar ekonomi menggesa agar caj transaksi RM1 yang dikenakan bagi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) dihapuskan. Antara sebab utama adalah caj ini dilihat membebankan pengguna.
Pakar ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, penghapusan caj RM1 yang dikenakan ke atas pelanggan tidak akan menjejaskan bank-bank tempatan memandangkan keuntungan yang diperoleh adalah tinggi. Jelasnya, ia tidak akan memberi masalah kepada pengurusan serta sistem mereka.
Tambah individu ini lagi, kerajaan turut perlu memainkan peranan dalam mendengar keluhan rakyat berkenaan isu ini. Kerajaan diminta agar melupuskan kadar caj tersebut atau mengurangkannya kepada 50 sen.
“ATM terbahagi kepada tiga iaitu milik bank tempatan itu sendiri, milik bank berbeza yang digunasama serta ATM di bawah Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS).
“Untuk ATM milik bank sepatutnya tiada caj dikenakan kepada pengguna, sama juga ATM bank lain gunasama dan jika tidak mampu untuk hapuskan keseluruhan caj mungkin boleh diturunkan kepada 50 sen,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Hasil tinjauan di media sosial turut mendapati orang ramai menyambut baik idea ini. Ada yang menyuarakan caj tersebut tidak adil buat mereka yang menetap di kawasan luar bandar, yang jelas-jelas tidak mempunyai banyak kemudahan seperti mesin ATM.
Malah, ada juga yang meluahkan mereka lebih rela mencari mesin ATM yang dikehendaki meskipun terpaksa berjalan jauh dan meredah kesesakan lalu lintas. Semua ini hanyalah untuk mengelak daripada dikenakan caj RM1.
“Aku sanggup cari bank yamg sama dengan kad bank walaupun kena jalan jauh sebab nak elak cas RM1 tu. Lagi satu dalam acc bank tinggal RM110 je, nak keluarkan RM100. Takkan la nak gadaikan RM1 tu pastu boleh keluar RM90 je”, luah seorang individu.
Adakah caj RM1 masih relevan pada hari ini di saat bank mengalami keuntungan yang banyak dan rakyat sedang menghadapi isu kenaikan harga barang, apa pendapat anda? – Kosmo
0 Response to "Ramai Sokong Hapus Caj Transaksi ATM RM1, Ia Membebankan Pengguna?"