Penjualan Mercun Diberikan, Bebas Main Sepuasnya, Ikut Garis Panduan KDN



PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.


Menteri Pembangunan Kerajaan tempatan, Nga Kor Ming, berkata untuk itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.


Beliau berkata, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet semalam selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.


"Semalam Jemaah Menteri sudah meluluskan pembakaran mercun dan bunga api. Akan dihalalkan, tetapi ia tertakluk kepada permohonan lesen import dan duti serta mengikut peraturan dan garis panduan.


"Kita tahu pembakaran mercun menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia. Tak kira Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidilfitri atau Krismas," katanya kepada pemberita pada program Jalinan Muhibbah KPKT, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Kor Ming berkata ketika ini, mercun dan bunga api dijual sindiket secara 'bawah tanah' lantas tidak mengendahkan aspek keselamatan.


Apabila ia dihalalkan kelak, katanya, kerajaan bukan hanya dapat memungut ratusan juta hasil daripada pemegang lesen, malah akan ada kawal selia, penguatkuasaan dan undang-undang yang dipastikan.


"Saya harap dasar baharu ini akan memeriahkan lagi apabila menjelang Aidilfitri pada April nanti.


"Sekarang ni jual curi-curi. Lepas dapat lesen dia boleh jual di pusat beli-belah," katanya. – BeritaHarian