Kerajaan Akan Cari Alternatif Lain Bantu Rakyat Selain Pengeluaran KWSP


KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.


"Kita kena timbang. Kita sedang cari jalan kurangkan beban mereka tanpa menimbulkan beban lain pada masa mereka bersara nanti," katanya selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil - Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.


Perdana Menteri ditanya sama ada pengeluaran KWSP dalam pertimbangan kerajaan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.


Pelbagai pihak menggesa kerajaan membantu dan mengutamakan rakyat yang berada dalam kesusahan, termasuk membenarkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023.


Perdana Menteri menjelaskan, beliau memahami isu mengenai kebenaran pengeluaran KWSP seperti yang dibangkitkan banyak pihak.


Katanya, sudah banyak kali kebenaran diberi dan ada simpanan pencarum yang semakin berkurangan.


"Saya kalau ikut, (itu) wang dia. Dia nak keluar biar dialah. Tapi kalau wang dia tinggal RM5,000 (dalam KWSP), keluar RM3,000, pencen nanti dia anak beranak macam mana?" katanya.


Sementara itu, ditanya mengenai tumpuan Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, seperti yang sudah beliau umumkan sebelum ini tumpuan sudah tentu terarah kepada isu menangani defisit, digital dan sekuriti makanan.


"Dalam masa sama isu keselesaan dan masalah kos sara hidup rakyat jadi tumpuan utama. Perkara yang lain, akan saya bentangkan dalam belanjawan itu nanti," katanya. – BeritaHarian 



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad