KUANTAN: Seorang suri rumah kerugian RM53,875 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 41 tahun dari Kuantan menerima tawaran itu melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Januari lalu.
Mangsa hanya perlu `Like dan Subscribe YouTube' dengan dijanjikan menerima komisen sebanyak 30 peratus setiap kali tugasan yang dilakukan.
"Mangsa membuat tugasan pertama dengan pembayaran berjumlah RM300 dan menerima pulangan sebanyak RM390 termasuk komisen 30 peratus ke akaun banknya.
"Akibat percaya mendapat keuntungan yang banyak, mangsa membuat sebanyak 10 transaksi berjumlah RM53,875 kepada empat akaun yang berbeza. Akibatnya mangsa kerugian RM53,875 iaitu wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada ahli keluarga.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ramli menasihati dan menegaskan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya. – BeritaHarian