Polis Trafik Iringi Ibu Nak Bersalin


BACHOK: Mengiringi ibu yang hampir bersalin menjadi kenangan buat anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok dalam Op Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.


Mereka mengiringi sepasang suami isteri sejauh lebih 20 kilometer, dari Jelawat ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata kejadian berlaku pada jam 7 malam, apabila polis mengesan sebuah kereta Proton Wira yang menggunakan laluan bertentangan dari Tangok ke Jelawat.


Beliau berkata, kenderaan itu ditahan dan pemandu kereta itu memaklumkan yang isterinya hampir bersalin.


"Anggota trafik kemudian memaklumkan kepada Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) dan mengiringi pasangan itu ke Klinik Gunong.


"Pasangan ini kemudiannya diiringi hingga ke HRPZII berikutan tiada ambulans di klinik berkenaan.


"Pesakit selamat sampai ke hospital jam 8 malam dan selamat bersalin tanpa komplikasi," katanya.


Mohamad berkata, dua anggota polis yang mengiringi pasangan itu adalah Lans Koperal Rizwan Razali dan Lans Koperal Najwi Daud.


Tindakan anggota polis itu turut mendapat pujian orang ramai apabila kejadian itu dimuat naik di laman rasmi IPD Bachok dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Rata-rata memuji tindakan pantas anggota dan keprihatinan polis dalam menyelamatkan nyawa ibu serta anak berkenaan.


Seorang pembaca, Raja Kamaruzaman, menulis, "terbaik, Abam polis prihatin terhadap rakyat dalam kecemasan", manakala Muhamad Hanif menulis, "Tahniah kepada kedua-dua anggota trafik tersebut, sememangnya mereka dapat APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang)."


Hantaran itu turut mendapat lebih 1,000 tanda suka dan ratusan komen yang kebanyakannya mengucapkan tahniah atas tindakan terpuji polis.


Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari, bermula 18 Januari lalu dan akan berakhir Jumaat ini. -- BeritaHarian

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad