Cikgu Dengan Sengaja Kurangkan Duit BAP RM50, Rupanya Ramai Ibu Bapa Turut Terkena


PETALING JAYA – Telah tular di media sosial hari ini, tentang sebuah perkongsian seorang wanita yang mempersoalkan tindakan seorang guru dengan sengaja mengurangkan jumlah wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM100.


Melalui rakaman video di TikTok  Shuhada, dia mendakwa guru berkenaan tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir untuk mengambil wang BAP di sekolah anaknya.


Seperti yang umum tahu, kerajaan memperuntukkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.


Namun, itu berbeza dengan situasi wanita itu, guru bertugas di kelas anak bongsunya itu memaklumkan wang BAP hanya RM100 bagi seorang pelajar.


“Hari ini saya pergi ambil duit BAP tu. Setiap murid dapat RM150. Dekat sekolah tu ada tiga orang anak saya pergi ambil.


“Kelas pertama yang anak saya darjah lima, betul dapat RM150. Kemudian saya ke kelas nombor dua, anak bongsu darjah dua dan cikgu lelaki bagi saya RM100,” katanya tanpa mendedahkan nama sekolah berkenaan.


Bercerita lanjut, Shuhada hairan dan segera menanyakan kepada guru tersebut sekiranya dia silap membuat pengagihan.


“Guru itu menjawab memang RM100 dan tiada silap, aku tak cakap banyak, aku tulis surat apa semua, aku ambil.


Shuhada kemudiannya terus ke kelas seorang lagi anaknya yang berada di tahun enam dan bertanya pada guru bertugas di sana mengenai jumlah sebenar BAP.


“Cikgu, saya nak tanya bantuan awal ini bukan RM150 ke? Cikgu itu jawab, ya puan, RM150.


“Masalahnya, cikgu itu tadi bagi pada saya RM100. Kalau ada penolakan duit PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau apa-apa ke kena cakap,” jelasnya.


Aduannya tersebut telah mengejutkan guru wanita berkenaan lalu kemudiannya bertindak berjumpa dengan guru lelaki itu yang didakwa mengurangkan wang BPA sebanyak RM50 kepada ibu bapa.


“Selepas jumpa, cikgu lelaki itu dengan muka tak bersalah mengeluarkan duit dari fail dan serahkan kepada cikgu perempuan dan kemudian diserahkan kepada saya RM50 lagi,” katanya.


Tambah Shuhada lagi, dia turut berkongsi insiden tersebut di dalam kumpulan WhatsApp kelas anaknya yang terdiri daripada ibu bapa murid-murid lain dan apa yang lebih mengejutkan apabila ada di antara mereka turut mengalami perkara sama. -- Kosmo