Penat tonyoh baju guna tangan, isteri jual cincin nikah beli mesin basuh! Suami ganti lebih mahal selepas bisnes crepe ‘kencang’

Seorang wanita ini tidak pernah menyangka bahawa dia akan menjual cincin nikahnya demi kelangsungan hidup.

Realitinya, itulah yang dilalui oleh Siti Nur Khalieda Yusra di awal perkahwinanya.

Kisah hantaran nikah miliknya mendapat perhatian daripada satu video yang telah tular di laman sosial apabila dia dikejutkan dengan mendapat hadiah sebentuk cincin baharu.


 Perkongsian cerita kepada mStar, wanita tersebut yang lebih mesra dipanggil Kieda berkata, dia dan suaminya telah bernikah pada 12 Mac 2016.


Berdasarkan kenyataan Kieda, pada awal pernikahan dia tinggal bersama ibu mentuanya sebelum berpindah ke rumah milik ibunya sendiri bagi meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.


"Selepas itu kami berpindah ke rumah sewa. Hanya ada dapur dan tong gas daripada arwah atok saya. Masa tu dah tahun kedua kahwin, anak pun usia kira-kira setahun.


"Pendapatan kami tak tetap paling banyak RM800 sebulan. Saya bantu ibu mentua jual nangka madu, manakala suami ambil upah dengan potong rumput," katanya kepada mStar.

Hilmy (kiri) dan Kieda mendirikan rumah tangga pada 2016.

Mengimbau kembali peristiwa ketika itu, Kieda yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, dia nekad untuk menjual cincin nikahnya dan cincin tunangnya dengan tujuan untuk membeli sebuah mesin basuh.

Kieda akui bahawa suaminya tidak mengizinkan untuk menjual barangan bernilai tersebut, namun lelaki itu tetap akur setelah diyakinkan bahawa ia boleh ditebus semula nanti.

"Memandangkan kerja kami yang sibuk daripada pagi hingga petang, memang sentiasa penat untuk saya basuh baju guna tangan. Tak larat dah tonyoh guna tangan hari-hari.

"Anak masih kecil, jadi kerap bertukar baju. Saya fikir perlu ada mesin basuh untuk mudahkan urusan harian. Masa tu kami masing-masing memang tak ada duit simpanan pun.

"Saya beritahu suami apabila ada duit nanti, akan digantikan dengan cincin yang baru," ujarnya yang menjual kedua-dua cincin tersebut pada harga RM540 yang membolehkannya membeli sebuah mesin basuh baharu yang murah dan keperluan asas lain di rumah.

Kiri Hilmy mengambil upah memotong rumput, kanan Kieda menjual nangka.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak menyangka suaminya akan 'menebus' cincin nikah mereka dengan membeli yang baharu iaitu yang berharga lebih RM1,000, pada hujung minggu lalu.

"Kita kaum isteri apabila suami tak ada apa-apa, jangan tinggalkan suami. Kahwin kalau tak ada harta-benda tak apa, jangan tak ada kasih sayang dan yang penting janji setia.

Dalam perkahwinan kena banyakkan kasih sayang dan sabar. KIEDA

"Dalam perkahwinan perlu lebihkan rasa kasih sayang dan sabar. Jika suami berusaha untuk kita walaupun belum ada rezeki, isteri bantulah jual apa yang ada termasuk cincin nikah.

"Alhamdulillah, dah ada cincin nikah yang baru sebagai ganti. Walaupun bukan cincin yang dulu, tapi terasa macam pengantin baru," katanya yang kini mengusahakan bisnes crepe.

Kieda (kanan) dan Hilmy mengusahakan bisnes crepe.

Sementara itu, suami Kieda, Mohd Hilmy Mohd Zaki, 29, pula berkata, dia kini menjalankan satu bisnes kurier yang mula menceburi bidang itu pada tahun 2018.

Katanya, terdapat dua perkara utama yang dipegangnya apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga iaitu berkorban dan menghargai antara satu sama lain.

Hilmy dan Kieda bersama anak-anak.

"Isteri saya sanggup berkorban jual cincin nikah dan tunang dia untuk melengkapkan barang keperluan keluarga kecil ini.

"Selepas lima tahun, Alhamdulillah rezeki apabila buat bisnes secara kecil-kecilan. Tiba masanya bagi saya pula melengkapkan kembali benda yang isteri pernah korbankan.

"Dalam perkahwinan, memang akan melalui fasa susah dan struggle cari duit untuk besarkan anak-anak. Yang penting kami tak menyusahkan orang dan belajar berdikari," katanya.

Video berkaitan satu kejutan 'cincin nikah baharu' itu telah meraih hampir 1.5 juta tontonan di media sosial iaitu TikTok.


Sumber: mStar