Lelaki didakwa membunuh selepas pengawal keselamatan yang diserang meninggal dunia


SUNGAI PETANI: Lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menyebabkan mendatangkan kecederaan kepada pengawal keselamatan, dihadapkan ke mahkamah sekali lagi hari ini, atas tuduhan membunuh mangsa.

Tertuduh, R Subramaniam, 41, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan itu susulan tindakan polis mengklasifikasikan semula kes mencederakan mangsa, Ismail Ahmad, 58, yang berlaku di sebuah tapak projek perumahan sebagai kes bunuh.

Ini berikutan mangsa yang menerima rawatan sejak Khamis lalu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) meninggal dunia kira-kira jam 6 petang semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam yang tiada pekerjaan tetap didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini pada 4.40 petang 4 April lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Semalam, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa di Mahkamah Sesyen.

Pengakuan itu dibuat tertutuh di hadapan Hakim Roslan Hamid yang kemudian menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dan polis merujuk semula kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya yang mengarahkan kes dituduh semula mengikut Seksyen 302KK.