Kuman sudah merebak! Ainul Mardhiah tenat di PICU, keluarga mohon doa rakyat Malaysia


NAMA si cilik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin sekali lagi menjadi perhatian rakyat Malaysia apabila dia tiba-tiba dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU).

Ekoran itu, bapanya memohon doa daripada orang ramai agar Ainul dapat kembali pulih.

Pada awalnya, anak kecil berusia empat tahun itu mengalami muntah dan cirit birit dalam masa sehari.

Dia kemudian semakin tidak bermaya pada hari kedua sehingga terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan hospital. 

Menurut ibunya, Nurul Erwani Zaidi, Ainul disahkan terkena jangkitan kuman yang sudah merebak ke seluruh anggota badan.

"Sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ni. Terus bawa ke kecemasan. Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul dah terlalu tenat sebab infection dah ada dekat semua tempat.

"Mama rasa gagal sebab tak beri perhatian pada Ainul," luahnya di laman Instagram.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan bahawa Ainul hanya berada di rumah sahaja.

Justeru tidak menyangka anak sulungnya akan turut dijangkiti.

Malah Nurul Erwani meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana kuman berada di mana-mana sahaja.

Sebelum ini Ainul Mardhiah pernah mendapat perhatian negara kerana menghidap ketumbuhan di dalam mulut dan selamat menjalani pembedahan di London, United Kingdom yang dijalankan sendiri oleh Dr Amalina Che Bakri.

Sumber : Mstar Online