Budak 3 tahun meraung cari family, syukur remaja SPM muncul jadi hero | Moment ibu terduduk dapat balik anak hilang buat ramai sebak


KEADAAN orang yang ramai dan berasak-asak di pusat beli-belah atau kawasan awam boleh mengundang risiko berlakunya anak terlepas daripada genggaman tangan.

Malah kejadian yang berlaku itu umpama mimpi ngeri bagi ibu bapa mahupun penjaga.

Seperti kejadian yang berlaku pada 1 Ogos baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia lingkungan 3 tahun ditemukan bersendirian oleh Sharifah Noorfarahin Muhamad Azhar dan adiknya Muhamad Qais Mukmin di sebuah pusat beli-belah ternama di Putrajaya.

Menceritakan insiden yang berlaku, wanita berusia 30 tahun itu berkata, pada hari kejadian dia dan adik lelakinya dalam keadaan tergesa ke pusat beli belah selepas waktu kerja kerana ingin membeli pelitup muka.

Selepas mendapatkan barang yang dicari, saya dan adik nak gerak balik... tiba-tiba ternampak seorang kanak-kanak yang sedang gelisah.

Saya cakap kat adik yang budak tu lost, tapi adik jawab ada keluarga dia di situ kerana di kelilingnya ada tiga keluarga lagi yang membawa stroller.

“Awal tu saya mengiyakan kata-kata adik, tapi selepas tengok budak perempuan mendepakan tangan sambil menggenggam jari jemari serta kepala berpusing ke kiri dan kanan, barulah saya yakin yang dia berada jauh daripada keluarga.

Budak tu pun sudah mula bergerak mencari keluarga dia... disebabkan bimbang akan keselamatan, saya dan adik berlari untuk mendapatkannya,bujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya, sejurus menghampiri kanak-kanak perempuan terbabit, adiknya terus mendukung dan menenangkan kerana dia kelihatan takut.

Pada masa sama katanya, dia diminta untuk merekod kejadian yang berlaku supaya dapat membantu mencari keluarga adik tersebut jika berlaku perkara tidak diingini.

Adik pula bagi telefon dia kepada budak tu sebab asyik menangis sampai tersedu-sedu sambil cuba memujuk dan menenangkannya.

Sharifah akui cemas dan takut semasa membantu kanak-kanak hilang di pusat beli belah.

Masa kejadian saya memang buntu sebab tak tahu nak buat macam mana dengan rasa berdebar dan shaking. Pertama kali berhadapan dengan situasi cemas seperti itu.

Mula-mula kami berjalan sekeliling kawasan dia ditemui, tetapi tidak nampak kelibat ibu bapa atau penjaga yang mencari budak hilang,” ujar tukang jahit yang menetap di Sungai Merab, Kajang Selangor.

Buntu dengan situasi yang dialami, akhirnya Sharifah meminta kanak-kanak terbabit menunjukkan arah kali terakhir dia bersama ibunya sebelum terpisah.

Kami semua bergerak ke arah yang ditunjuk sehingga tiba di hadapan kedai tempat saya membeli pelitup muka. Saya dan adik berpusing-pusing sambil menunjukkan orang ramai yang ada di kawasan sekitar sama ada ibu atau ayahnya.

Tapi dia hanya menggeleng... sehinggalah tiba di bahagian makanan. Bagi menenangkannya yang masih gelisah kerana tidak bertemu keluarga lagi, adik ingin membelikan makanan tetapi dia tidak mahu.

Oleh itu saya minta dia tunjukkan air yang diingini, tambahan pula dia baru lepas menangis teresak-esak... mungkin akan rasa dahaga, katanya.

Sementara membeli air, tiba-tiba kanak-kanak tersebut menunjuk ke arah seorang wanita berbaju merah yang berdiri tidak jauh daripada tempat mereka berada.

Sharifah merupakan tukang jahit berasal dari Kajang.

Walaupun pada awalnya ibu kanak-kanak itu tak perasan sebab dia sedang keluarkan telefon... tapi apabila semakin menghampiri barulah dia terkejut melihat anaknya didukung adik.

Suaminya bersama dua lagi anak berada tidak jauh di belakang saya dan adik. Mereka mengucapkan terima kasih kerana membantu anaknya yang hilang, luahnya lagi yang masih terkejut dengan kejadian berlaku.

Terdahulu video perkongsian yang dimuat naik di aplikasi TikTok menjadi tular.

Sehingga kini, ia ditonton lebih 1.5 juta pelayar dan menerima lebih 180,000 tanda suka.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan terharu dengan kejadian yang berlaku selain turut mengucapkan terima kasih kepada Sharifah dan adiknya yang berusia 17 tahun kerana pantas membantu.

Sumber : mstar