'Lawan Lebih Bagus' - Zii Jia


 

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia terpaksa akur dimalukan di halaman sendiri apabila tewas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia.

 

Beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan sokongan lebih 12,000 penyokong yang membanjiri Axiata Arena gagal memberi kelebihan buat pemain ranking kelima dunia itu apabila tewas kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 66 minit.

 

Zii Jia mengakui bahawa lawan bermain dengan lebih baik berbanding diri menjadi punca kepada kekalahannya hari ini.

 

"Setiap perlawanan ada memang ada kalah. Kali ini saya kalah dan saya kena terima. Tiada apa yang dikesalkan.

 

"Sebab lawan bermain lebih bagus. Sebelum ini saya lawan dengan dia memang sengit. Dia memang lawan yang sukar.

 

"Sekarang ini saya tahu tahap saya di mana dan cuma saya saya kena cari bagaimana nak kekalkan tahap prestasi itu," katanya.

 

Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya sebelum ini berjaya merangkul dua gelaran apabila mengungguli saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand di Bangkok bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan beraksi atau tidak di Masters Malaysia yang akan bermula Selasa ini.

 

Kekalahan itu menyaksikan harapan untuk melihat Zii Jia kembali merampas gelaran Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berkecai selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.

 

Chong Wei adalah pemenang terbanyak sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1937 dengan 12 gelaran bagi acara perseorangan lelaki.

 

Kekalahan Zii Jia itu menyaksikan tiada wakil negara dalam acara perseorangan selepas kecundangnya Liew Daren dan Ng Tze Yong di pusingan pertama.

 

Sementara itu Shesar bersyukur dengan kemenangan ini terutama dapat mempamerkan tahap permainan terbaik.

 

Sokongan ribuan penonton yang memberi sokongan kepada Zii Jia nyata tidak menjejaskan rentak Shesar apabila berjaya menyerap tekanan dengan begitu baik terutama di set penentuan.

 

"Saya rasa senang sekali dapat menang ke atas Zii Jia. Penyokong yang ramai tentu tidak mudah mengalahkan pemain tuan rumah.

 

"Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan mengenai penyokong yang ramai ini sebab kalau difikirkan ia akan menjadi tekanan kepada saya.

 

"Kesilapan Zii Jia adalah sering melakukan kesilapan di mata akhir itu sebenarnya memberi saya peluang untuk menang," katanya yang kini menghuni ranking ke-26 dunia berbanding Zii Jia kelima.

 

Rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pemain itu kini terikat kepada empat sama dari lapan pertemuan sebelum ini.

 

Menanti Shesar di suku akhir adalah pemain kedua dunia dari Jepun Kento Momota.

 

Momota yang juga juara dunia dua kali mara ke kelompok lapan terbaik selepas menundukkan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 11-21, 21-8, 21-18.

 

Sumber: hmetro