Inflasi: RM70 Bilion Subsidi Pastikan Rakyat Tidak Terkesan


 

Putrajaya: Lebih RM70 bilion subsidi diberikan kepada Keluarga Malaysia pada tahun ini bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan situasi inflasi di negara ini.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sidang Parlimen pada tahun lalu, jumlah subsidi diluluskan sebanyak RM33 bilion namun dengan kenaikan pelbagai barangan, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini mencecah lebih RM70 billion.

 

Malah Annuar berkata kadar inflasi di negara ini masih rendah iaitu 2.8 peratus jika dibandingkan dengan negara lain yang kini sudah mencecah dua digit.

 

"Ia disebabkan komitmen kerajaan yang menggunakan pendekatan mengawal kenaikan harga barang keperluan dengan membayar subsidi.

 

"Sidang Parlimen pada tahun lalu meluluskan anggaran pelbagai bentuk subsidi sebanyak RM33 bilion. Berdasarkan kenaikan pelbagai barangan, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini mencecah lebih RM70 bilion.

 

"Ini bermakna kerajaan terus memberikan subsidi kepada barangan tertentu bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan suasana inflasi yang sedang berlaku dan mengekalkan pada tahap inflasi terendah," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, semalam.

 

Annuar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri sudah berbincang secara terperinci dan beri perhatian serius kepada impak yang dihadapi oleh rakyat berikutan kenaikan harga barangan, kos sara hidup dan selanjutnya memberi kesan inflasi.

 

"Dalam keadaan sebegini, kita bersyukur Malaysia mempunyai kadar inflasi antara yang paling rendah dalam kalangan ASEAN dan negara maju. Ramai tidak menyedari keadaan ini adalah disebabkan komitmen kerajaan menggunakan pendekatan mengawal kenaikan harga barang keperluan dengan cara kerajaan membayar subsidi.

 

"Jadi penubuhan jawatankuasa ini adalah tanda komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan kadar inflasi kekal rendah dan pendekatan memberi subsidi pada barangan tertentu akan dikekalkan dan membuat bayaran yang lebih tinggi," katanya.

 

Mengulas mengenai jawatankuasa berkenaan, Annuar berkata ia tidak terhad kepada ahli yang sudah disenaraikan sahaja, tetapi menteri daripada kementerian lain turut akan diundang untuk menyertai jawatankuasa berkenaan sekiranya isu yang ingin dibincangkan terkait rapat dengan pihak berkaitan.

 

"Beberapa agensi sudah diputuskan untuk menyertai jawatankuasa ini termasuklah Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kumpulan pakar rujuk yang mempunyai kemahiran serta pandangan dan nasihat menegnai langkah-langkah yang boleh diambil," katanya.

 

Memperincikan mengenai mesyuarat yang diadakan itu, ahli pada sidang itu turut membincangkan mengenai isu subsidi ayam dan telur yang diumumkan baru-baru ini.

 

"Kita nak tegaskan bahawasanya kerajaan sangat memahami, sekiranya harga ayam diapungkan, tinjauan yang dibuat mendapati harga sekilogram ayam itu boleh mencapai sehingga RM11. Malah ia dikukuhkan dengan tinjauan harga di negara sekitar.

 

"Maka Perdana Menteri tidak mahu ia berlaku kepada Keluarga Malaysia dan membuat ketetapan supaya harganya dikawal. Sebanyak RM330 juta perbelanjaan bagi memastikan semua pihak dalam industri ayam diberi perhatian yang sewajarnya.

 

"Tidak seharusnya ada lagi pemberitaan tidak benar dan tidak tepat yang menimbulkan keresahan orang ramai," katanya.

 

Tambahnya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa bekalan ayam dalam negara ini lebih daripada mencukupi dan pemberian subsidi untuk bekalan ayam dapat diberikan bermula esok.

 

"Proses pemberian subsidi di peringkat yang sudah ditentukan juga kini dipermudahkan dan mulai esok bekalan ayam berkenaan dapat disampaikan kepada rakyat.

 

Sumber: hmetro