Empat Beregu Negara Buru Slot Separuh Akhir


 

SELEPAS jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan kedua, kini hanya empat beregu negara masih meneruskan cabaran di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

 

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi halangan pusingan kedua dalam misi memburu gelaran sulung di laman sendiri selepas menumpaskan pasangan Singapura,Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean 21-16, 21-13.

 

Beregu pilihan kelima itu akan menentang beregu pilihan ketiga, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, pada suku akhir esok.

 

Beregu kedua lelaki negara, Goh-Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan berdepan dengan cabaran getir apabila bertemu juara Terbuka Indonesia, 19 Jun lalu, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.

 

Gandingan itu melangkah ke suku akhir dengan mudah apabila memperoleh kemenangan percuma selepas beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri akibat kecederaan sebelum memulakan perlawanan.

 

Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut menempah slot suku akhir dengan menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020,, Wang Chi Lin-Lee Yang dari Taiwan, 21-17, 21-18.

 

Pasangan ranking ke-10 dunia itu akan menentang beregu Indonesia dan pilihan keenam, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, bagi merebut tempat ke separuh akhir.

 

Dalam acara wanita, beregu Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing muncul wakil tunggal negara selepas melakukan kejutan dengan mengalahkan pilihan kedua, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan, 18-21, 21-12, 21-15.

 

Sumber: sinarharian