2 Budak Perempuan Dilaporkan Hilang Di Beluran

BELURAN : Polis memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan dua kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Beluran, Sabah sejak 26 Julai lalu.

Dua kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Nur Hawa Syaqira Jeif, 12 dan adiknya Nurul Syuhada Asyiqim Jeif, 9.

Mereka dilaporkan hilang dari rumah keluarga di Ladang Monsok, Beluran.

Ketua Polis Beluran, Kasim Muda, berkata mengikut laporan kedua-duanya disedari hilang kira-kira 10 pagi.

Katanya, menurut bapa mangsa, Jeif Wong, 46, kali terakhir dia melihat kedua-dua anaknya kira-kira 8 pagi sebelum keluar ke tempat kerja.

“Sebaik menyedari kehilangan anaknya, bapa mangsa turut menghebahkan kehilangan itu di media sosial.

“Selepas itu, ada saksi mendakwa melihat kedua-duanya di Hotel London, Sandakan,” katanya dalam kenyataan.

Kasim berkata, setakat ini dua kanak-kanak terbabit masih gagal ditemui dan operasi mencari giat dijalankan di sekitar Ladang Monsok dan Hotel London.

Sehubungan itu, Kasim menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak terbabit menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089 511222.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Muhammad Fakhrullah Wahad di talian 013 5126121 atau balai polis berhampiran.

Sumber : SabahPost