JKM Cari Waris Bayi Lelaki Ditinggalkan Di Kotak Perlindungan

SHAH ALAM, 10 Jun (Bernama) — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling sedang mengesan ahli keluarga atau waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di kotak perlindungan bayi di Orphan Care Petaling Jaya, April lepas.

Pelindung di jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata bayi tersebut dijumpai bersama sekeping nota yang menyatakan dilahirkan pramatang ketika kandungan berusia 33 minggu, mempunyai nama panggilan ‘Adam’, berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Pelindung telah mendapatkan perintah mahkamah bagi meletakkan bayi itu yang kini berusia tiga bulan di tempat selamat sementara siasatan lanjut dilakukan.

“Mahkamah juga telah membenarkan siaran akhbar dibuat untuk mengesan ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai bayi tersebut mengikut peruntukan Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001. Bayi itu akan dibawa semula ke mahkamah pada 23 Jun 2022,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan bayi tersebut diminta tampil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling atau menghubungi Nor Asmanizah Ahmad di talian 03-7842 2584 atau 03-7842 2587.


Sumber: Siakap Keli