Shiha Zikir ungguli AME2021
PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon Shiha Zikir melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP Wanita pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung malam tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Shiha membawa pulang RM10, 000 dan sebuah trofi.
Dia sebelum itu turut menyapu bersih empat trofi menerusi kategori Grup/Dua MeleTOP, Lagu MeleTOP (Aewo), Bintang Filem MeleTOP (Hantu Bonceng) dan Artis Versatil MeleTOP dan RM5,000 bagi setiap kategori.
Penyanyi Khai Bahar pula diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP Lelaki sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.
Dua lagi kategori yang diungguli Khai ialah Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123 turut melayakkannya membawa pulang trofi dan RM5,000 bagi setiap kemenangan.
Setiap pemenang dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam kalangan calon Top 5 bagi setiap kategori.
Bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), AME 2021 dihoskan tiga gandingan pengacara sensasi popular, Jihan Muse, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Tampil dengan tema Yang Fresh, Yang Legend, anugerah tersebut menampilkan persembahan daripada barisan artis popular seperti Siti Nurhaliza, Search, Misha Omar, De Fam, Zizi Kirana, Yonnyboii, Dolla, Hael Husaini, Aina Abdul, Siti Nordiana, Wany Hasrita, Bunga Isme dan ramai lagi.
Terdahulu, AME 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari lalu terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik Covid-19.
Sumber: KOSMO! ONLINE
0 Response to "Shiha Zikir ungguli AME2021"