LHDN Buka Kaunter Permohonan BKM Fasa 2 Hingga Awal Jun Ini


 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka kaunter bagi permohonan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 selama sebulan.

 

Menurut infografik LHDN, kaunter permohonan rayuan tersebut dibuka bagi tempoh bermula 9 Mei lalu sehingga 2 Jun ini.

 

Imbas kembali, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan mengenai permohonan bantuan BKM Fasa 2 sebelum ini.

 

Tengku Zafrul berkata demikian menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman sesawang LHDN pada 30 April lalu.

 

Jelasnya dalam kenyataan tersebut, individu yang tidak lulus permohonan BKM Fasa 1 sebelum ini boleh membuat permohonan semula bermula 2 Mei hingga 2 Jun ini.

 

Difahamkan, hampir RM2 bilion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada kira-kira 9 juta penerima B40 seluruh negara pada Mac lalu, manakala RM1.1 bilion bagi Fasa 2 pula pada bulan Jun ini.

 

“Walau bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BKM tetapi masih belum didaftarkan di dalam pangkalan data kerajaan.

 

“Oleh itu, sukacita diingatkan bahawa tempoh rayuan bagi permohonan BKM akan dibuka mulai 2 Mei 2022 selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini,” katanya.

 

Orang ramai boleh memohon pembukaan kaunter permohonan  itu di link yang telah disediakan https://bkm.hasil.gov.my/

 

Sementara itu, dalam hantaran di laman Facebook, LHDN menerima persoalan daripada seorang netizen mengenai permohonan rayuan. Berikut di bawah adalah maklum balas diberikan.

 

“Untuk makluman, tiada permohonan baharu BKM 2022 dibuka semasa tempoh rayuan.

 

“Permohonan baharu dan rayuan hanya dibuka setahun sekali pada tempoh yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

 

“Tempoh permohonan baharu / kemaskini maklumat dibuka pada awal tahun (1 Januari 2022 – 31 Januari 2022) dan tempoh permohonan rayuan / kemaskini dibuka selepas keputusan kelulusan dikeluarkan ( 2 Mei 2022 – 2 Jun 2022),” jelas LHDN lagi.

 

Selain itu, tarikh semakan keputusan rayuan BKM 2022 belum dimaklumkan lagi oleh Kementerian Kewangan. Untuk makluman, tempoh rayuan BKM 2022 adalah sehingga 2 Jun 2022 (tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa).

 

“Sekiranya telah membuat permohonan rayuan BKM 2022, mohon abaikan kod tidak lulus tersebut,” maklum LHDN.

 

Pihaknya turut menjelaskan selepas beberapa soalan yang diajukan di ruangan komen Facebook.