Isu Lama Tapi KPM Masih Peringkat Kajian


 

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) masih mengkaji keluhan guru warden asrama, bagi mencapai penyelesaian yang lebih menyeluruh.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ini termasuk isu elaun yang terlalu rendah.

 

Beliau berkata, isu guru warden asrama bukan perkara baharu yang dibangkitkan, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.

 

"Berkaitan warden berbeza sedikit. Ia perkara khusus yang sedang kita teliti kerana kita tahu isu guru warden ini bukan isu baharu.

 

"Kementerian tahu guru warden di luar sana tertanya-tanya apa pendekatan yang akan diambil kementerian.

 

"Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Kementerian melihat isu ini secara menyeluruh tetapi ada kekangan tertentu yang mahu kita selesaikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kementerian Pendidikan, hari ini.

 

Radzi berkata, cabaran dihadapi guru warden lebih serius kerana walaupun menerima elaun memegang tugasan itu tetapi ada elaun lain yang ditolak, menyebabkan lebih senang jika mereka tidak menjadi guru warden.

 

Beliau berkata, itu perkara teknikal yang perlu dibincangkan dengan agensi pusat serta memerlukan masa untuk diselesaikan.

 

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, dilaporkan meminta untuk mempertimbang langkah mewujudkan jawatan khas bagi tugas warden di asrama supaya mereka dapat memberi fokus kepada tugasan hakiki.

 

Beliau dilaporkan berkata, sepanjang pengalamannya berkhidmat di kementerian itu, beliau menerima banyak rintihan daripada guru yang dibebani dengan pelbagai kerja bukan tugasan hakiki, termasuk menjadi warden di asrama.

 

Sumber: bharian