KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain, berkuat kuasa 1 Mei ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.
Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.
"Individu dengan status 'High Risk' (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.
"Justeru, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO.
"Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.