Garis Panduan Sekolah 4.0 Selepas Pengumuman Kementerian Kesihatan


 

PUTRAJAYA: Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 akan dibentangkan selepas pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan pada Rabu ini.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sejurus selepas pengumuman itu, Kementerian Pendidikan akan menyelaraskan perkara yang dibincangkan sebelum garis panduan baharu tersebut diumumkan.

 

“Kita tahu bahawa ramai ingin melihat sektor pendidikan dibuka dengan lebih meluas. Insya-Allah kita sudah buka sedikit demi sedikit cuma kita mengambil pendekatan lebih cermat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Menteri Kanan Pendidikan di sini hari ini.

 

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kelonggaran beberapa SOP Covid-19 yang akal diumumkan Rabu ini bersifat selamat serta cermat dan kerajaan tidak mahu tersilap langkah.

 

Mengulas lanjut, Radzi memberitahu, pembukaan sekolah pada kali ini dilakukan dengan niat untuk tidak lagi menutupnya justeru, ia perlu dijalankan dengan lebih cermat.

 

“Biar lambat asalkan selamat sebab bila kita buka nanti insya-Allah kita dapat terus beroperasi dan sekolah tidak perlu ditutup lagi,” katanya.

 

Berhubung isu guru bersara awal, Radzi berkata, kementerian sedang meneliti isu tersebut dan akan memberi penjelasan sewajarnya pada masa akan datang selain secara umumnya, data-data dari 2017 sehingga hari ini menunjukkan jumlah guru bersara awal tidak banyak berubah.

 

“Sebab ada yang berkata puncanya sebab tekanan selepas Covid-19, banyak bebanan tugas kerja, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan sebagainya. Jadi kita sedang cuba memahami apakah punca menyebabkan guru-guru mengambil keputusan bersara awal. Semua keputusan dibuat dengan penelitian,” katanya.

 

– UTUSAN

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad