Hasil dapatan kajian gaji minimum dibentang Khamis ini - Saravanan

 

Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) akan membentangkan hasil dapatan Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Khamis ini.

 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata jawatankuasa itu juga akan mengemukakan syor mengenai kadar dan liputan gaji minimum kepada MPGN. Beliau berkata dalam kajian itu, JTPGN mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja, pertubuhan majikan, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosioekonomi negara.

 

"MPGN sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan sebelum mengemukakan syor untuk pertimbangan serta persetujuan kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

 

Saravanan juga memaklumkan kerangka kenaikan kadar upah tidak dibentang dalam pembentangan Bajet 2022 kerana Kementerian Sumber Manusia, melalui MPGN, masih di peringkat akhir penyediaan Laporan Kajian Semula PGM 2020.

 

Mengikut Akta MPGN 2011 (Akta 732), PGM hendaklah dikaji semula sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun manakala PGM 2020 berkuat kuasa pada 1 Feb 2020, maka kajian semula perlu dilaksana dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kuat kuasa perintah itu.

 

Saravanan juga berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada 22 Okt lepas meluluskan Tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) Kemasukan Pekerja Asing ke Malaysia bagi semua sektor.