Keutamaan bantuan JKM kepada penerima lengkap suntikan vaksin

 

Kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, ia selaras dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak akan memberi muka kepada kumpulan antivaksin yang memilih untuk menolak vaksin tanpa alasan yang kukuh.

 

Menurutnya, golongan berkenaan akan dinasihati terlebih dahulu untuk segera mengambil vaksin sekiranya mereka memohon bantuan daripada pihak kerajaan.

 

"Kita akan semak pemohon itu sudah terima dua dos atau tidak (dan sekiranya belum), kita akan bagi nasihat supaya (mereka ini) mengambil suntikan vaksin dahulu sebelum bantuan diberikan.

 

 

"Insya-Allah, rakyat akan terima dan kita akan luluskan setiap permohonan yang menepati syarat yang ditetapkan.

 

 

"Kita sedang mengenal pasti golongan yang menolak vaksin ini dan setakat ini, kita tidak ada data namun jika ada kita akan nasihat mereka terlebih dahulu," katanya ketika melakukan lawatan ke rumah seorang warga emas, Wan Fatimah@Wan Maznah Wan Chik, 76, yang menghidap penyakit paru-paru kronik di Kampung Losong Panglima Perang di sini, semalam.

 

Sementara itu, Hanafiah turut menyarankan waris kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 tampil mendapatkan bantuan daripada JKM.

 

Menurutnya, bantuan sewajarnya merangkumi bantuan kewangan, persekolahan dan universiti termasuk orang kurang upaya (OKU) akan diberikan bagi membela nasib mereka.

 

"Bantuan bukan hanya untuk mereka yang kehilangan kedua-dua ibu bapa tetapi kita sedia membantu anak-anak yang kematian seorang daripada mereka.

 

"Setakat ini, kita ada dengar (kehilangan ibu bapa akibat Covid-19) tetapi tiada yang mengaku namun kita minta mereka ini tampil atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing," katanya.