
Sejumlah 54 buah kampung di Bengkoka, Pitas bakal diroboh, susulan kemenangan syarikat balak Acacia Forest Industries (AFI) dan SAFODA di mahkamah baru-baru ini.
Menurut sebuah surat yang dihantar oleh pihak syarikat balak kepada penduduk-penduduk terbabit, penduduk-penduduk berkenaan telah didapati mencerobohi kawasan hutam Kamanchi-Gandawari.
Selain itu, penduduk kampung dikehendaki merobohkan rumah-rumah yang dinaikkan, mengosongkan tanah terbabit dan tidak lagi memasuki kawasan tersebut.
Masidi Manjun bersama Michael Lindsay Janssen (Pengurus Besar Acacia Forest Industries)
Untuk rekod, Acasia Forest Industries (AFI) mempunyai dua pemegang saham utama, iaitu syarikat swasta Hijauan Bengkoka Plantations Sdn Bhd (70%) dan Kerajaan Negeri Sabah melalui SAFODA (30%).
Semakan mendapati Hijauan Bengkoka Plantations memegang berpuluh ribu hektar tanah secara konsesi di seluruh Sabah.
Pada tahun 2013, mereka juga memohon dan mendapat sekurang-kurangnya 38,000 hektar tanah dari pentadbiran Musa Aman.
Baru-baru ini, pada awal Julai 2020, pertikaian yang sama seperti di Pitas telah berlaku di Bagahak, Lahad Datu.
Pertikaian tanah di antara penduduk kampung dengan sebuah anak syarikat kerajaan negeri Sabah telah dibawa ke mahkamah sejak tahun 2007.
Mahkamah kemudian mendapati tanah berkeluasan 6,800 hektar yang dipertikai sebenarnya dimiliki secara sah oleh Sawit Kinabalu, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah.
Walau bagaimanapun, Ketua Menteri pada ketika itu, Shafie Apdal, telah mengarah Sawit Kinabalu menggugur kes mahkamah tersebut.
Sebaliknya tanah yang dimilik oleh Kerajaan diberi kepada 2,000 orang penduduk yang terbabit pada bulan Julai 2020.